Jumat, 08 Januari 2010

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH

PENGGUNAAN NAMA ALLAH: ANTARA CELARU DAN KELIRU

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Hari ini saya meninjau-ninjau laporan akhbar berkaitan penggunaan kalimah Allah SWT oleh Gereja Kristian. Saya melihat pandangan penulis-penulis Muslim yang menyokong dan yang membantah.

Di kalangan masyarakat, saya yakin ramai yang celaru dalam polemik keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penulisan mereka. Kecelaruan timbul disebabkan beberapa perkara,

pertamanya terdapat ayat-ayat suci al-Quran menggunakan istilah tersebut di dalam wacananya dengan Yahudi, Kristian dan penyembah berhala, atau pengkhabarannya kepada umat Islam mengenai agama-agama tersebut.
Keduanya, terdapat golongan agama dan ‘bukan golongan agama’ yang menyokong kebenaran tersebut di atas alasan orang-orang Kristian dan Yahudi Arab menggunakan istilah tersebut.
Ketiganya, melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ akan menyebabkan ‘susah’ proses mengislamkan orang-orang bukan Islam.
Berbalik kepada sebab pertama iaitu terdapat ayat-ayat suci al-Quran yang menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam wacananya dengan golongan ‘kuffar’, atau pengkhabarannya kepada kita mengenai mereka. Al-Quran diwahyukan antaranya untuk menjelaskan mengenai ketuhanan dan keesaan Allah SWT yang menjadikan alam ini, yang menguasai alam ini, mempunyai segala sifat kesempurnaan dan tidak bersifat dengan sifat kemanusiaan seperti beranak dan diperanakkan.

Dalam membincangkan keesaan Allah itulah, adalah menjadi uslub yang paling baik, al-Quran berdepan dengan golongan kuffar dengan menjelaskan Allahlah tuhan mereka yang sebenar walaupun mereka tidak beriman; atau mereka mungkin percaya beserta kesyirikan mereka mengenai adanya tuhan-tuhan yang lain beserta Allah SWT (Syirik pada rububiyyah Allah SWT).

Akhirnya, nama Allah yang datang ke Tanah Melayu telah berjaya disucikan daripada kesyirikan. Tersebar luas kalimah Allah Yang Maha Suci Di Tanah Melayu sebagai tuhan yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Malangnya sekarang, kerana lemahnya kita, kita kembali ke zaman awal Islam, kalimah Allah SWT perlu disucikan kembali sebagaimana di peringkat awalnya. Kita tidak pula periksa, adakah dalam kitab-kitab mereka iaitu ‘Injil’ dan ‘Taurat’ versi sekarang mempunyai kalimah ‘Allah’. Sebaliknya kita menggunakan al-Quran, untuk menjustifikasikan dakwaan mereka bahawa mereka boleh menggunakan kalimah ‘Allah’! Walhal, khitab Allah datang dalam bentuk mahu mensucikan Allah dari apa yang mereka sifatkan.

Keduanya, terdapat golongan agama dan bukan agama di kalangan orang Islam yang berhujah, kalimah Allah sememangnya telah digunakan oleh Kristian Arab atau Yahudi Arab. Saya tidak berkesempatan melihat kitab-kitab mereka dalam bahasa Arab. Walaupun begitu, ia berbeza dengan Kristian di Tanah Melayu. Bible yang diterjemahkan bukannya ada menyebut kalimah ‘Allah’. Jadi, atas hak apa mahu dikotorkan semula nama Allah yang datang dalam bentuk murni dan suci di Tanah Melayu ini dan merubah nama tersebut kepada nama yang penuh kesyirikan. Dan penyokong-penyokongnya seolah-olah menyokong supaya diubah pengertian suci ini kepada pengertian Syirik!

Ketiganya, sebahagian orang Islam berandaian pengkhususan nama Allah untuk orang-orang Islam menyebabkan mereka orang-orang bukan Islam sukar memeluk agama Islam sebagaimana kata-kata ‘Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu’ menyebabkan sukar orang bukan Islam memeluk agama Islam. Saya katakan: Melayu itu Islam perlu dikekalkan, tetapi Islam tidak semestinya Melayu sepatutnya menjadi slogan.
Berbalik pengkhususan Allah kepada orang Islam menyebabkan sukar berdakwah dengan orang-orang bukan Islam, saya tertanya-tanya dari mana dapatnya kesimpulan ini. Adakah ada kajian (research) mendalam? Sebaliknya bukti nyata dan bukti hidup, penggunaan kalimah ‘Allah’ di Indonesia menyebabkan kecelaruan yang amat besar. Demikian juga, penggunaan kalimah ‘Allah’ untuk orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak, tidak membantu pertambahan ‘umat Islam’, sebaliknya masyarakat Islam di sana terpaksa mewarisi budaya sahabat-sahabat kita di Tanah Seberang. Ramai sahabat-sahabat dari Indonesia menasihati kita supaya jangan jadi seperti mereka.

Apabila saya membuat penilaian pada persoalan ini, saya melihat di sinilah bahaya pembahagian Tauhid 3 iaitu yang mengasingkan Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Seolah-olah hendak mengiyakan bahawa orang-orang musyrik bertauhid dengan tauhid rububiyyah iaitu kepada Allah SWT.

Jadi, orang yang berpegang pada tauhid ini akan berkata “biarkanlah mereka menggunakan kalimah Allah” sebab merekapun bertauhid dengan tauhid rububiyyah! Walhal orang-orang musyrik ini sebenarnya tidak bertauhid (tidak mengatakan esa) sebaliknya menganggap adanya tuhan-tuhan lain iaitu tuhan anak dan lain-lain, atau adanya dewa-dewa lain yang memberi bekas mendatangkan rezeki dan sebagainya. Sekaligus mereka mensyirikkan Allah dalam ketuhanan dan penyembahannya. Ayat-ayat yang disebut yang mengatakan orang-orang Musyrik mengatakan Allah sebagai yang menjadikan mereka, al-Quran menggunakan perkataan ‘mereka pasti berkata’, al-Quran tidak mengatakan ‘mereka pasti beriman’!.

Beberapa mudharat ke atas umat Islam daripada penggunaan kalimah Allah bagi agama Kristian:


Kalimah Allah akan didefinisikan dengan pelbagai makna antaranya konsep triniti tersebut dalam kamus-kamus bahasa Melayu yang akan datang. Kamus-kamus antarabangsa juga akan mengubah definisi iaitu kalimah Allah diguna oleh orang-orang Kristian Arab, dan Yahudi Arab zaman dahulu, dan orang-orang Kristian Indonesia dan Malaysia secara meluas!
Umat Islam kena lebih berhati apabila membaca atau ’searching’ melalui internet. Kewujudan kalimah Allah dalam artikel berbahasa Melayu, tidak semestinya membicarakan Allah Yang Maha Suci.
Akan ada mereka yang mendekati orang-orang Islam khususnya remaja atas nama ‘Allah’, tapi membawa kefahaman yang ‘tidak suci’.
Akan ada lagu yang bersifat ketuhanan, tetapi yang dimaksudkan ialah konsep Triniti.
Masyarakat yang akan dicelarukan atau tercelaru sehinggakan merasakan agama-agama tersebut hanya satu perbezaan mazhab semata-mata.
Polemik ini saya jangka akan berterusan di kalangan umat Islam sendiri antara yang menyokong dan membantah penggunaan ini. Di sinilah, kita mengharapkan Raja-Raja Melayu dan pemerintah membuat keputusan yang bijak untuk menyelesaikan ‘ketidaksepakatan’ umat Islam pada perkara ini, dan mengembalikan kesucian kalimah Allah kepada kesuciannya yang hakiki.

Semoga Allah SWT melindungi generasi kini dari pepecahan dan cabaran yang mahu merosakkan akidah, Shariat dan akhlak mereka. Allahu musta’an.

http://drasmadinet.blogspot.com/


Dicatat oleh Abu Muhammad di 4:18 PM 1 ulasan



Khamis, Januari 7
Isu Kalimah Allah - Dr. Siddiq Fadzil

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH:
SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)


Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini dirujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan. Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu.


Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.


Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.


Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.


Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:-


What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.


Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.


Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.


It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.


In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.


The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon.wordpress.com/about/).



Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi "perkara masa lalu" yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan seharusnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira " uruf ahl al-balad " (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah " mafsadah " atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

Kamis, 31 Desember 2009

Adab menyambut kelahiran anak

Adabul al-Muslim Fii Hayatihi
(Pekerti Luhur dalam Kehidupan Muslim)


Adab menyambut kelahiran.

Zuriat keturunan adalah salah satu daripada nikmat anugerah Allah (SWT) kepada setiap pasangan yang berkahwin. Dengan keturunan itulah pada hakikatnya akan meneruskan pengabdian diri seorang insan kepada yang Maha Mencipta. Pengabdian diri manusia sebagai seorang hamba akan terhenti dengan terpisahnya ruh daripada jasad seseorang. Akan tetapi hal sebaliknya akan terjadi seandainya seseorang itu padanya dikurniakan keturunan, maka pastinya anaknya itulah nanti akan meneruskan kesinambungan kerja-kerja ibadah (amal ubudiah) yang ditinggalkan oleh ibu-bapa.

Hal ini dapat difahami berdasarkan sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud: Apabila matinya seorang anak adam (manusia) makan akan terputuslah amal perbuatannya kecuali tiga perkara. pertama Sedekah Jariah (berkekalan) kedua ilmu yng bermanfaat dan ketiga anak soleh yang mendoakan kebaikan untuknya.

Maka jelaslah bahawa anak adalah anugerah ilahi yang tak terhingga sehingga mampu memberikan kebahagiaan kepada ibu-bapa walaupun mereka telah terpisah dan dipisahkan oleh sebuah kematian.Oleh yang demikian maka sepatutnya bagi ibu bapa yang memiliki anak dan yang bakal mendapat cahaya mata mensyukuri nikmat ini dan bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam mendidik, menjaga dan mengawal kelakuan dan akhlak anak-anak mereka.

Islam adalah agama yang maha sempurna.tidak ada satu aspek pun dalam kehidupan manusia yang tidak diajar di dalam Islam. Bermula daripada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara.
Berikut akan diterangkan tentang akhlak, adab dan juga perilaku yang berkaitan dengan anak yang baru dilahirkan yang sepatutnya dilaksanakan oleh para ibu-bapa dan warga pendidik khususnya serta umat Islam umumnya. .



PERBAHASAN PERTAMA

1) Sunat digembirakan dan ucapan tahniah apabila menerima berita kelahiran anak.

Apabila seseorang mendapat berita tentang kelahiran anak saudaranya yang Islam maka sunat baginya menyegerakan hal-hal yang mengembirakan saudaranya itu dengan ucapan tahniah serta menimbulkan perasaan sukacita. Dengan itu akan menguatkan hubungan di samping menyuburkan lagi ikatan kasih-sayang sesama keluarga Islam.Kiranya ini tidak mampu dilakukan maka hendaklah ia memohon doa untuk saudaranya dan juga anak yang baru dilahirkan itu. Semoga dengan demikian mendapat keberkatan Allah (SWT). Semoga Allah (SWT) memberikan kebahagiaan dan keceriaan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Mudah-mudahan Allah (SWT) memakbulkan doa yang dipanjatkan itu dan memelihara anak itu dari segala yang tidak baik.
Sesungguhnya Al-Quran telah memaparkan kisah tentang mengembirakan anak yang baru lahir dalam beberapa ayat suci sebagai panduan dan pengajaran besar kepada umat Islam yang cintakan agama dan ingin hidup dengan cara hidup Islam. Antaranya firman Allah dalam mengisahkan Nabi Allah Ibrahim (AS) dalam Surah Hud ayat 69-71. (Maaksudnya):“Dan sebenarnya telah datang utusan kami (Malaikat) kepada Ibrahim dengan berita gembira maka mereka mengucapkan salam,lalu diapun mengucapkan salam pula.Sebentar kemudian dibawakan daging yang telah dibakar. Apabila mereka tidak menjamahnya,dia lalu mecurigai mereka dan timbul perasaan takut kepada mereka. Mereka menyatakan janganlah takut,sesungguhnya kami diutuskan kepada Kaum Luth.Dan isterinya sedang berdiri, maka tiba-tiba datang bulannya (haidnya) maka kamipun mengembirakan dengan (anak) Ishak dan sesudah Ishak lahir pula Yaakub”





Kisah Nabi Allah Zakaria (AS) dalam Surah Aala Imran ayat 39. (Maksudnya): “Maka diserunyalah dia oleh para Malaikat sedang dia sedang berdiri di mihrab,bahawa Allah mengembirakan kau dengan Yahya”

Didalam ayat lain pula Allah berfirman (Maksudnya): “Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami mengenbirakan kamu dengan seorang anak namanya Yahya.Kami belum pernah sebelum ini menjadikan nama ini” Surah Maryam ayat 8.
Sesungguhnya demikianlah yang diriwayatkan didalam sirah bahawa ketika Rasul (SAW) dilahirkan. Datanglah Tsuwaibah tergesa-gesa kepada Abu Lahab mengembirakannya dengan berita kelahiran Rasulullah (SAW) dengan katanya: Abdullah tadi malam telah mendapatkan anak lelaki. Betapa Abu Lahab apabila mendengar berita itu, lalu dia memerdekakan Tsuwaibah kerana terlalu gembira dengan perkhabaran yang dibawa oleh Tsuwaibah itu.
As-Suhaili menyatakan bahawa Al-Abbas pernah berkata setelah Abu Lahab meninggal dunia aku lihat dia didalam mimpi setelah setahun berlalu dalam keadaan celaka, katanya sesudah aku meninggalkan kamu tak pernah aku merasakan rehat kecuali hari Isnin (hari kelahiran Rasullah (SAW) kerana pada hari itulah dia telah digembirakan oleh Tsuwaibah kerana berita kelahiran Rasullullah (SAW).
Menimbulkan kegembiraan dan ucapan tahniah ini sepatutnya diucapkan pada setiap anak yang dilahirkan tanpa membezakan sama ada anak lelaki maupun perempuan kerana rahsia dan hikmatnya terlalu besar. Adalah wajar bagi umat Islam tidak meninggalkan amalan ini dalam masyarakat supaya perhubungan mereka bersama menjadi teguh, pertalian persaudaraan semakin hari semakin kuat sehingga perasaan mesra dan kasih sayang meliputi rumah-rumah mereka dan keluarga mereka.

13/12/09






2)Azan dan iqamah ketika anak baru dilahirkan

Diantara hukum yang berkaitan dengan anak yang baru dilahirkan ialah mengazankan anak ke telinga sebelah kanan dan mangiqamahkannya pula pada telinga sebelah kiri.Sebaik-baiknya hendaklah dilakukan seraya menerima anak yang baru dilahirkan itu sebagaimana diketengahkan oleh Abu Daud dan Turmuzi daripada Abu Rafi’ bahawasanya dia berkata: Aku melihat Rasulullah mengazankan ke telinga Hasan bin Ali ketika dilahirkan oleh Fatimah, puteri Baginda(SAW).
Sementara imam Al-Baihaqi dan Ibnu As-Sunni Al-Hasan bin Ali daripada Ali daripada Rasulullah (SAW) sabdanya (Maksudnya): “Sesiapa yang baru mendapatkan seorang anak lalu diazankan ke telinga kanannya serta diiqamahkan pula ke telinganya yang kiri, nescaya tidak akan diapa-apakan oleh pontianak”
Juga diriwatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi (SAW) mengazankan ditelinga Hasan bin Ali pada hari pertama dia dilahirkan.
Berdasarkan riwayat-riwayat ini maka dihukumkan sunat mengazankan dan mengiqamahkan anak yang baru dilahirkan. Ini ialah kerana mengikut perbuatan Sunnah yang dilakukan oleh Rasullah (SAW)
Sesungguhnya disebalik pensyariatan azan dan iqamah ini terkandung rahsia besar sebagaimana yang di sebut oleh Ibnul Qayyim dalam kitabnya Tuhfatul Maudud bahawa perkataan yang mula-mula didengar oleh telinga anak kecil ialah kalimah seruan yang mulia yang mengandungi makna kebesaran Allah (SWT) dan ketinggianNya dan juga Dua kalimah Syahadah. Hal ini sama seperti mengajarkan syiar Islam kepada anak tersebut sebelum mendengar ucapan dan ajaran yang lain.







Perbuatan ini diangap sama juga seperti mentalkinkan (mengucapkan kalimah tauhid) ketika ia keluar dari dunia ini.Ketika memasuki dunia diajarkan kalimah tauhid dan ketika keluarpun dengan kalimah yang sama.
Dan tiada dapat diingkari bahawa kesan daripada azan itu akan sampai kelubuk hati, dan kesan itu akan kekal meskipun dia tak dapat merasainya. Selain itu telah sampai kepada kami bahawa syaitan akan lari bertempiaran sambil berkentut apabila mendengar suara azan.Padahal syaitan telah lama menantikan kelahiran anak itu untuk disesatkan dari jalan yang benar.

Jesteru syaitan akan menjadi lemah dan kecewa apabila pergangtungan anak diajar dan disandarkan pada kekuatan Allah (SWT).
Di sisi yang lain supaya dakwah kepada Allah dan kepada agama Allah (SWT) dan seterusnya kepada penyembahan kepada Allah (SWT) didengar terlebih dahulu olehnya sebelum mendengar seruan syaitan, bisikannya yang mewaswaskan manusia dari berpegang pada jalan yang benar iaitu jalan mentauhidkan Allah (SWT) dengan sebenar-benarnya.
Segala yang dibawa oleh Ibnu Qayyim ini adalah sebesar-besar dalil tentang kepedulian Rasulullah (SAW) terhadap aqidah tauhid dan iman serta perhatian Baginda dalam hal menghalau syaitan, iblis dan hawa nafsu sejak dari mula anak itu menghidu udara dan bernafas untuk hidup di dunia ini.


14/12/0










3)Mentahnikkan anak yang baru dilahirkan.

Di anatara hukum yang berkaitan dengan anak yang baru dilahirkan yang terdapat di dalam syariat Islam ialah sunat mentahnikkan sesudah dilahirkan. Tahnik bererti mengunyahkan korma serta memindahkannnya ke dalam lidah anak yang baru dilahirkan.Dimulai dengan meletakkan korma yang telah dikunyah itu di hujung jari kemudian dimasukkan secara perlahan-lahan hujung jari itu ke dalam mulut anak yang baru dilahirkan. Setelah gerakkan jari itu ke kanan dan ke kiri dengan lemah-lembut sehingga meratai mulut anak kecil itu dengan korma yang dikunyah itu. Seandainya kurma tidah ada maka boleh diganti dengan apa-apa jua makanan yang bersifat manis seperti madu dan seumpamanya. Adalah perbuatan ini dilakukan sendiri oleh baginda Nabi (SAW) sendiri.
Adapun hikmah di sebalik pensyariatan hukum tahnik ini ialah menguatkan urat-urat mulut melalui gerakan lidah yang akhirnya menyenangkan anak menghisap susu dari tetek ibunya.Sebaik-baiknya kelakuan tahnik ini dilakukan oleh orang yang soleh dan yang terkenal(diketahui) dengan ketakwaan dan kewarakan.Demi mengambil berkat agar dengan harapan sifat-sifat terpuji yang ada pada orang soleh itu mengalir kepada si anak itu kelak.









Diantara dalil yang menjadi sandaran para ulamak ialah hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Burdah dan meriwayatkan pula dari Abu Musa r.a. katanya “aku pernah mendapat seorang anak lelaki,lalu aku membawanya kepada Rasuulullah(SAW) maka dinamakannya Ibrahim kemudian ditahnikkannya dengan kurma, lalu didoakannya agar dicucuri berkat,kemudian Baginda menyerahkannya kepadaku”


4)Sunat menggunting rambut anak yang baru dilahirkan.

Di antara hukum-hukum yang berkaitan dengan anak yang baru dilahirkan ialah sunat menggunting rambutnya pada hari yang ketujuh. Kemudian rambut itu hendaklah ditimbang dengan perak dan disedekahkan kepada fakir miskin. Terdapat dua hikmah besar di sebalik pensyariaatan hukum ini.
1) Hikmah kesihatan. Membuang rambut anak yang baru dilahirkan itu memberi kekuatan baginya. Dengannya akan terbuka lubang-lubang rambut. Dan yang demikian itu akan memberi kesan kepada kesihatan pancaindra penglihatan, penafasan dan pendengaran.
2)Hikmah kemasyarakatan. Bersedekah dengan sedekah seberat rambut yang di timbang dengan perak itu mengandungi tauladan yang baik dari sudut kemasyarakatan. Diharapkan dengannya akan memberi sedikit bantuan kepada fakir miskin yang ada dalam masyarakat setempat. Maka akan terjalin satu ikatan jalinan kasih sayang diantara si kaya dengan si miskin sekali gus meruntuhkan benting yang menjarakjauhkan pertalian ukhwah Islamiah dalam masyarakat Islam.





Di antara hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh para fuqaha di dalam permasalahan ini ialah Imam Malik meriwayatkan daripada Jaafar bin Muhamad daripada ayahnya,katanya: Fatimah r.a.telah menimbang rabut-rambut Al-Hasan dan Al-Husin, Zainab dan Ummu Kultsum, dan telah menyedekahkan perak seberat rambut yang dicukurkan itu.
Sementara Ibnu Ishaq menyatakan bahawa “Rasulullah telah membuat aqiqah seekor kambing untuk Al-Hassan kemudian sabda baginda: wahai Fatimah cukurkan rambutnya dan sedekahkan dengan seberat rambut itu perak. maka Fatimah menimbang rambut itu yang beratnya sekira-kira satu dirham atau setengah dirham”.
Maka perkara yang ada kaitan dengan permasaalahan ini pula ialah larangan mencukur setengah kepala anak kecil dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ini dinamakan “qazak”.Qazak yang terdapat dalam larangan nabi ialah
• Mencukur bahagian tertentu kepala.
• Mencukur yang tengah saja.dan ditinggalkan yang sekeliling.
• Mencukur yang tepi saja dan meninggalkan yang tengah.
• Mencukur yang hadapan saja dan meninggalkan yang tengah.
Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa ini semua adalah menunjukkan kesempurnaan dan keadilan Allah (SWT) dan RasulNya dalam perkara yang berhubung dengan manusia. Maka Allah mencegah mencukur setengahnya dan meninggalkan setengahnya yang lain. Demikianlah halnya dengan memakai kasut sebelah kaki dan tiada memakai sebelah yang lain.maka yang sepatutnya sama ada memakai kedua belah kaki atau tidak memakainya terus.

Di antara hikmahnya yang lain bahawa Rasullullah (SAW) dan Islam itu sendiri sangat mengambil berat terhadap tiap-tiap diri orang Islam supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan sopan dan sentiasa kelihatan cantik sesuai dengan gaya dan pemandangan.mencukur setengah dan meninggalkan setengahnya menyebabkan kepala anak kecil menjad cacat dari sudut pandangan orang lain.



Alangkah baiknya kalau semua ibubapa dan yang bakal menjadi ibu bapa serta para pendidik mengetahui hukum-hukum ini.dengan mengetahui akan persoalan yang berkaitan dengan kelakuan dan pelaksanaan yang diambil daripada sumber wahyu, dengan demikian pastinya akan menjadikan hidup seseorang itu akan lebih bermakna.
Alangkah bahagianya sebuah keluarga yang dapat menghidupkan sunnah dalam kehidupan harian mereka.

Adapun jahil dalam persolan agama pada zaman ini.zaman yang dikelilingi oleh cendekiaan Islam atau mereka yang arif dalam persoalan-persoalan dalam urusan agama bukanlah suatu keuzuran yang dimaafkan. Apatah lagi jika berkaitan dengan perkara-perkara asas fardu ain yang tak dapat tidak mesti tahu bagi setiap orang yang bergelar mukallaf.
Semoga dengan pengetahuan ini maka hendaknya ibubapa dan warga pendidik mengamalkannya kepada anak-anak mereka satu demi satu. Hiasilah hidup ini dengan sunnah agar kita terus berjalan menuju redha Ilahi dan dapat berlindung dibawah naugan rahmat Allah (SWT) sepanjang hayat. Maka dengan rahmat Allahlah kita akan diizinkan mengetuk pintu syurgaNya. Amiin…

Sabtu, 05 Desember 2009

jqaf 2005: Antimazhab Ancam Syariat Islam

jqaf 2005: Antimazhab Ancam Syariat Islam

Antimazhab Ancam Syariat Islam

Oleh: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab.*

Mungkin terdapat sesetengah golongan yang cetek penyelidikkan dan pengetahuannya tentang perbahasan di dalam ilmu-ilmu agama Islam berpendapat bahawa masyarakat awam pada hari ini tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dan para ulama, masyarakat hanya perlu mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja secara terus. Mereka berpendapat sudah cukup dengan segulung ijazah sarjana ataupun Phd sudah melayakkan seseorang itu tidak mengikuti mana-mana mazhab. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan mazhab adalah rekaan para ulama silam semata-mata dan tiada kaitan dengan Islam. Sesiapa sahaja yang mengikut mazhab termasuk di kalangan pelaku bidaah mungkar bahkan ada yang lebih dangkal lagi mengatakan seseorang itu telah sesat dan kafir. Adakah kenyataan seperti ini benar-benar ilmiah?

Apabila kenyataan seperti ini keluar dari mulut seseorang maka telah terbukti kecetekkan mereka di dalam memahami perbahasan para ulama muktabar. Mereka membayangkan bahawa para ulama mazhab terdahulu telah mengeluarkan fatwa tanpa sandaran atau lalai terhadap nas-nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Penyakit seperti ini berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (anti mazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab. Sedangkan mengikuti kefahaman dan penjelasan dengan bertanyakan sesuatu masalah yang tidak diketahui kepada para ulama sesuatu yang diajar oleh agama Islam itu sendiri.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Nahl: Ayat 43).

Berkata Imam Syatibi:

Fatwa-fatwa para mujtahid itu bagi orang awam bagaikan dalil syariat bagi para mujtahid. Adapun alasannya ialah ada atau tidak adanya dalil bagi orang yang bertaqlid adalah sama sahaja kerena mereka sedikitpun tidak mampu mengambil faedah daripadanya. Jadi masalah meneliti dalil dan istinbath (mengeluarkan hukum) bukanlah urusan mereka dan mereka tidak diperkenankan untuk melakukan hal tersebut. (Kitab: al-Muwafaqat).

Pujian patut diberikan terhadap usaha tegas pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyedari bahaya pemikiran alLa mazhabiyyah ini lantas mengeluarkan risalah penerangan bertajuk Bahaya Anti Mazhab. Selain itu, salah seorang ulama Islam masa kini iaitu Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti turut menulis sebuah kitab bertajuk alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah (kitab ini ada diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu) membicarakan perihal alLa Mazhabiyyah ini secara khusus. Selain daripada Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti, masih ramai lagi ulama yang bangkit menjelaskan perkara ini melalui tulisan-tulisan dan ceramah-ceramah mereka supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata golongan ini. Pujian dan sokongan juga mesti diberikan terhadap pihak mufti-mufti negeri dan alim ulama tempatan yang sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat awam berkenaan bahayanya fahaman alLa Mazhabiyyah.

Berkata Imam Ghazali:

Bagi golongan awam adalah wajib bagi mereka meminta pendapat dan mengikut (bertaqlid) dengan ulama. (Kitab: al-Mustasfa).

Jika mereka mendakwa dan mendabik dada dengan dakwaan mereka hendak mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja maka ketahuilah bahawa para ulama muktabar terdahulu beribu-ribu kali ganda lebih memahami dan mengenali sesuatu dalil itu sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Kenyataan seperti ni seringkali kita dengari dari lidah-lidah mereka yang tidak memahami kedudukan khilaf mazhab di dalam Islam lantas memperkecilkan dan merendah-rendahkan para ulama muktabar terdahulu dengan anggapan para ulama terdahulu mengeluarkan hukum tanpa disandarkan secara tepat kepada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Mereka merasakan diri mereka terlalu hebat berbanding para ulama muktabar sedangkan asal mereka juga tidak terlepas daripada mengambil ilmu agama dari lidah-lidah dan kitab-kitab para ulama tersebut. Kita katakan kepada golongan ini: Benar, kami juga mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. secara bersungguh-sungguh, akan tetapi ikutan kami dengan kefahaman dan penerangan daripada para ulama muktabar!

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil ilmu (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Mereka hanya berpegang dan menganggap bahawa pendapat mereka sahaja yang betul walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil-dalil maksum. Golongan ini turut merasakan mereka sahajalah yang mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. yang merupakan sumber utama untuk mengeluarkan hukum lantas mengatakan sesiapa yang tidak mengikut pendapat mereka adalah jumud, tidak tajdid, tidak ilmiah dan tidak memahami dalil-dalil. Adakah mereka juga maksum sepertimana Rasulullah S.A.W.?

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:

Ya, benar kalian berpegang dengan nas maksum yang diwahyukan dari Allah Taala tetapi kefahaman kamu terhadap nas tersebut bukanlah wahyu apatah lagi maksum, kalian hanya berpendapat berdasarkan zahir nas sahaja. (Kitab: Kaifa Nataamalu Maa Turath).


Mendakwa boleh berijtihad oleh seseorang yang tidak berkelayakkan merupakan seburuk-buruk perkara dan kerosakkan yang paling merbahaya mengancam syariat Islam pada masa kini. Golongan ini menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahidin bahkan menganggap imam-imam tersebut sebagai penyekat dan penentang syariat Islam. Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan mereka sendiri. Golongan ini merupakan pendukung slogan-slogan tertentu dengan selalu mengajak kepada perbahasan, perdebatan, pengkajian semula untuk menyokong pendapat mereka sendiri yang mengatakan ijtihad itu wajib dan taqlid itu haram. Masyarakat yang harmoni pada suatu ketika dahulu menjadi riuh rendah dan kacau-bilau pada hari ini dengan isu-isu yang mereka bawakan ini.

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:

Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis. Lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang. Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu. (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd).

Kata-kata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi ini sememangnya benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia. Kita berani mengatakan jikalau kita bertanya kepada golongan ini, berapa banyakkah ayat-ayat al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. yang mampu mereka hafal dan fahami, kita yakin jawapan mereka ialah amat sedikit hafalan dan fahaman mereka walaupun telah memiliki segulung Phd. Ini belum ditanya lagi berapa banyakkah ilmu agama yang mereka pelajari dan fahami daripada para ulama serta pelbagai persoalan lain lagi. Bagaimanakah mereka boleh mendakwa mereka begitu memahami Islam dan mengatakan pendapat mereka sahajalah yang benar sedangkan ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. belum mampu mereka kuasai sepenuhnya? Sedangkan para ulama muktabar yang telah memahami dan menguasai segala ilmu tidak merasa diri hebat bahkan merekalah yang paling merendah diri kerana takutkan Allah Taala.

Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.

(Surah Faathir: Ayat 28).


Adalah menjadi satu kesilapan besar apabila mencari hukum-hakam agama di dalam kitab-kitab matan hadis secara mentah. Seseorang yang hanya mengetahui nas-nas hadis tidak boleh berijtihad sendirian tanpa bantuan ahli fiqh yang mahir. Sedangkan ahli fiqh ini pula terdiri daripada golongan yang mesti menguasai ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. sebelum mereka layak untuk mengeluarkan hukum-hakam. Golongan yang menegah orang lain daripada mengikut mazhab dan ulama muktabar adalah pencetus kepada tertubuhnya sebuah lagi mazhab yang baru. Mazhab ini adalah mazhab yang kelima tajaan mereka diri sendiri.

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:

Ada golongan yang memerangi konsep bermazhab, memerangi mazhab fiqh dengan melarang walaupun daripada golongan awam untuk bertaqlid. Pada masa yang sama mereka bertaqlid dengan pandangan guru mereka maka jadilah mazhab yang kelima! (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min Murahaqah Ila al-Rusyd).

Namun Islam tidak pernah menutup terus pintu ijtihad bagi sesiapa sahaja yang telah mencapai tahap ulama mujtahid dengan syarat-syarat yang amat ketat. Layakkah golongan tersebut mendakwa bahawa mereka mampu berijtihad sedangkan al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. tidak dihafal dan difahami? Jadilah kita seorang penuntut ilmu agama dengan terus-menerus belajar bersungguh-sungguh dan ikhlas. Tuntutlah ilmu sehingga ke akhir hayat. Moga-moga kita turut layak untuk menjadi salah seorang ulama pada suatu hari nanti dan bukan berlagak menjadi ulama. Wallahualam.

Penulis adalah seorang mahasiswa dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Penulis boleh dihubungi melalui email: shidi_buluh@yahoo.com dan blog: http://buluh.iluvislam.com.

Selasa, 01 Desember 2009

Ibu Mithali..(Sediakan tisu sblm baca!!)

Oleh Ceritera

Penerima ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkal

ung pingat “Ibu Mithali”. Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

“Sekarang …,” suara pengacara majlis bergema kembali, “Tibalah kita kepada penerima anugerah “Ibu Mithali” yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. “

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput?

Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.

Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.

‘Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.’

Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.

Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.

Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa.

“Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang penerima anugerah “Ibu Misali” tahun ini.”

Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan gadis itu.

“Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya”

“Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga “Ibu Mithali” yang baru menerima anugerah sebentar tadi.”

Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.

“Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!” suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.

“Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak.”

“Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abangabang dan, kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun.”

Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.

“Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan, pakai mereka.”

“Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri.”

“Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan ?” Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya

“Tapi, mak tak adil!” Saya kerap membentak. “Mak buat segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!”

“Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!” Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. “Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka.”

“Mereka cacat apa, mak?” Saya membeliakkan mata kepada mak. “Semua anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!”

“Mirah … Mirah belum faham, sayang.” Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.

“Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.
Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya.”

“Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak.” Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.
“Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi.”

“Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan.” Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu.

“Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak.
Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di hadapannya.”

“Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.
Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka.”

Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu.

“Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air.
Penat saya membersihkannya. “

“Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan.”

“Ibu!” Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. “Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak.”

“Mirah!” Ibu merangkul saya. ” Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah.”

“Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal.

Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami.”

“Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain.”

“Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?”

“Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah.”

“Mak adu semua kepada ibu, Ya?” Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah.

“Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak.”

“Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu.”

“Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak.

Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak.”

“Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu.”

“Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah.”

“Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu.”

“Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru.” “Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. “

“Mirah,” panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu bilik saya. “Mirah.”

“Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur.”

“Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. “Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah”

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu.

“Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak.”

Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya.

“Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah. ..”

“Mak!” Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis.

Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.

Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis itu berbicara.

Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima , saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut.

“Kenapa Mirah tolak tawaran itu?”

“Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?”

“Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! “

“Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?”

Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya.

“Mak, ayah.” Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.

“Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. “

“Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang.” Mak masih meragui keupayaan saya.

“Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti,” balas saya penuh yakin.

Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.

Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.

Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat.

“Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak. “

“Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya.”

“Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah.”

“Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?” suara mak diamuk pilu.

Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, “Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?”

“Mirah bukan anak kandung kita.” Mak meningkah. “Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya.”

“Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak.”

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah “Ibu Misali” dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak “Ibu Misali” yang lain.

“Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah.”

“Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan “Ibu Misali” pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan.”

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental.”

“Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah “Ibu Misali” tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak.”

“Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. “

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.

Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain.

‘Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.’
Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.

Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku semula.

“Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan “Ibu Mithali” untuk menyampaikan anugerah “Ibu Mithali” serta beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri dipersilakan.”

Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya dia terduduk kembali di atas kerusi.

Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung.

Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seorang demi seorang penerima anugerah “Ibu Mithali” sebelumnya, naik ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah “Ibu Mithali” yang terakhir itu.

Renung-renungkan dan Selamat beramal…



masyafinas.blog

Mufti Mesir kecam pungutan suara hina Islam

"Usul ini bukan sahaja dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan beragama tetapi juga percubaan untuk menyinggung perasaan umat Islam di Switzerland dan luar negara," kata Gomaa kepada agensi berita rasmi, MENA hari ini.

KAHERAH 30 Nov. - Mufti Mesir, Ali Gomaa mengutuk keputusan pungutan suara di Switzerland semalam yang mengharamkan pembinaan menara baru masjid dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Gomaa, bagaimanapun menyeru umat Islam supaya jangan melatah dengan keputusan yang disifatkan oleh beliau sebagai provokasi itu.

Majoriti besar pengundi di Switzerland memilih untuk mengharamkan pembinaan menara baru masjid dalam satu pungutan suara anjuran sebuah parti berhaluan kanan, semalam.

"Usul ini bukan sahaja dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan beragama tetapi juga percubaan untuk menyinggung perasaan umat Islam di Switzerland dan luar negara," kata Gomaa kepada agensi berita rasmi, MENA hari ini.

Beliau menggesa 400,000 penduduk Islam di Switzerland supaya menggunakan saluran 'dialog' dan undang-undang untuk mencabar pengharaman tersebut yang beliau gambarkan sebagai 'perbuatan provokasi'.

Parti terbesar di Switzerland, Parti Bangsa Swiss (SVP) yang berhaluan kanan telah memaksa pungutan suara diadakan selepas memenuhi syarat dengan berjaya memungut 100,000 tandatangan daripada pengundi yang layak dalam tempoh 18 bulan lalu.

Gomaa turut menyeru umat Islam supaya jangan terpengaruh dengan 'provokasi itu' dan menegaskan bahawa Islam 'menganggap umat manusia sebagai sebuah keluarga'.

Mesir ialah negara Arab yang mempunyai penduduk paling ramai dan berada di barisan hadapan dalam melancarkan tindak balas terhadap Denmark pada 2006 selepas sebuah akhbar Denmark menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW. - AFP

Posted on Tuesday, December 01 @ 14:22:07 MYT by Nabila

Renungan buat Isteri Solehah

Satu Kisah Menarik Untuk Kita Renungkan Bersama
Sumber Sabahdaily

Seorang hamba Allah (si A), telah pun kembali ke rahmatullah secara mengejut (kerana sakit jantung). Allahyarham adalah merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kampung beliau.

Semasa jenazah Allahyarham diletakkan di ruang tamu rumahnya sementara menunggu untuk diuruskan oleh saudara mara dan sahabat handai, isteri Allahyarham tidak berhenti-henti meratapi jenazahnya sambil merungut-rungut.

Si penulis (penulis asal cerita ini) yang kebetulan anak saudara Allahyarham, ada di sebelah balu Allahyarham pada ketika itu.

Beliau merasa amat hairan dengan sikap balu arwah itu. Si balu sepatutnya membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk dihadiahkan kepada arwah.

Kira-kira 10 minit kemudian, kakak ipar arwah (kakak balunya) pun sampai. Beliau turut merasa hairan dengan sikap adiknya yang meratapi dan merungut itu, lantas beliau melarang adiknya berbuat demikian sambil bertanya akan sebabnya.

Penulis yang masih berada di situ merasa amat terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh balu Allahyarham itu.

Antara jawapannya ialah:

1. Suaminya tidak membuat surat wasiat (yang sebenarnya ada).

2. Tanah pusaka milik suaminya tidak sempat ditukarkan ke nama beliau dan anak-anaknya.

3. Suaminya tidak sempat memindahkan saham syarikat suaminya bersama-sama adik-adiknya kepada beliau (Allahyarham memegang saham sebanyak 50% dan 5 orang adik-adiknya memegang 10% setiap seorang).

Untuk makluman, arwah adalah seorang yang agak berjaya dalam perniagaannya. Syarikat yang diuruskan oleh arwah sangat maju dewasa ini. Di samping itu, arwah memiliki kira-kira 12 ekar tanah di pinggir Putra Jaya dan kira-kira 50 ekar di sekitar kawasan Sepang/Dengkil.

Setelah seminggu arwah dikebumikan, peguam arwah memanggil waris-warisnya untuk dibacakan surat wasiat arwah. Penulis juga turut dipanggil tanpa mengetahui akan sebabnya.

Allahyarham mempunyai 4 orang anak, yang sulong masih lagi bersekolah di tingkatan 4, manakala yang bongsunya berusia 6 tahun.

Antara kandungan surat wasiat Allahyarham ialah:

1. 30% syer perniagaannya diserahkan kepada anak saudara perempuannya yang juga ahli perniagaan, dan 20% lagi diagihkan sama rata kepada anak-anaknya dengan anak saudara perempuannya sebagai pemegang amanah.

2. Tanah pusakanya seluas 10 ekar di pinggir Putra Jaya dibahagikan sama rata kepada anak-anak perempuannya (2 orang) dan 2 ekar untuk anak saudara lelakinya yang juga pemegang amanah untuk anak-anak perempuannya.

3. Anak-anak lelakinya yang berumur 14 dan 10 tahun, diberikan tanah 15 ekar seorang dengan saudara lelakinya sebagai pemegang amanah.

4. Saham-sahamnya diserahkan kepada anak-anaknya dan dibahagikan mengikut hukum syarak, dan diuruskan oleh saudara perempuannya yang diberi 20%.

5. Wang tunainya di bank (persendirian) diamanahkan kepada kakaknya untuk menampung pembiayaan anak-anaknya jika isterinya tidak berkahwin lagi. Jika isterinya berkahwin lagi, beliau meminta peguamnya meminta mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anaknya kepada kakaknya.

6. Rumah dan tapak rumahnya diwakafkan untuk anak-anak yatim Islam dan sebuah surau, dan hendaklah diserahkan kepada Majlis Agama Islam.

7. Harta-hartanya yang lain iaitu 2 buah kereta diberikan kepada adik lelakinya yang ketiga dan kelima; manakala baki tanah 20 ekar dibahagikan sama rata kepada adik-adik dan kakaknya.

Setelah selesai wasiat tersebut dibaca, isterinya membantah keras kerana tiada satu pun harta yang diserahkan kepadanya melainkan sebuah proton saga yang tidak dimasukkan dalam wasiat tersebut (yang memang digunakan oleh isterinya).

Belum sempat isterinya terus membantah, peguam Allahyarham membacakan satu kenyataan mengenai isterinya yang terkandung dalam wasiat itu.

“Isteriku tidak akan kuberikan apa-apa kecuali pengampunan. Terlalu banyak dosanya kepadaku. Maka pengampunan adalah hadiah yang paling berharga.”

“Tidak pernah aku merasa masakannya sejak mula berkahwin walaupun pernah aku suarakan. Tiada belas kasihan terhadap aku, baik semasa sakit apatah lagi jika aku sihat.”

“Herdik dan tengking kepada aku dan anak-anak adalah lumrah. Keluar rumah tidak pernah meminta kebenaran daripada aku. Makan dan minum anak-anak adalah tanggungjawab bibik (pembantu rumah). Kain bajuku tidak pernah diuruskan, dan yang paling menyedihkan, tiada mahunya dia mendengar pandangan dan nasihatku untuk kesejahteraan rumahtangga.”

“Kebahagiaan aku selama ini hanya dengan amalanku, tugas seharianku, anak-anakku dan adik-beradikku, terutama kakakku (yang sebagai pengganti ibu).”

Selepas peguam Allahyarham membacakan kenyataan itu, barulah penulis faham mengapa balu Allahyarham begitu meratap dan merungut semasa berada di sisi jenazahnya.

Marilah kita renungi bersama. Semoga dengan apa yang terjadi di atas, akan memberikan satu pengajaran yang berguna kepada kita sebagai umat Islam.